SHAH ALAM, 27 SEPT: Parti pembangkang perlu mewujudkan gabungan besar untuk berhadapan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata gabungan besar itu perlu bagi merealisasikan pertembungan satu lawan satu berhadapan BN.
“Pada prinsipnya, sudah tentu parti pembangkang perlu wujudkan satu muafakat perdana yang saya guna istilah ‘grand coalition’ untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Ia bermula dengan prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti,” kata beliau selepas Majlis Perasmian Bait Al-Mawaddah di Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Mohamed Azmin menafikan bersetuju untuk menggunakan nama dan logo barisan rakyat dalam pilihan raya akan datang.
“Kita belum memutuskan nama tetapi sudah pasti pergabungan itu adalah paling utama ketika ini.
“Walaubagaimanapun, kita akan mengadakan satu perbincangan untuk mengukuhkan gabungan parti pembangkang bagi pilihan raya akan datang,” katanya.
Mohamed Azmin berkata bahawa gabungan itu juga memerlukan kelulusan pihak berkuasa.
“Saya masih ingat pada masa lalu, apabila kita menyerahkan kertas cadangan untuk Barisan Alternatif, tetapi sehingga kini kita tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya.
EZY