OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 26 SEPT: Status pemulihan bekalan air di Hulu Langat kini berada pada tahap 81 peratus setakat jam 8 pagi tadi, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.
Beliau berkata, bekalan bagi keseluruhan kawasan terutama di kawasan tinggi dan penghujung sistem agihan akan pulih sepenuhnya jam 1 pagi, pada 28 September ini.
Katanya, ia berdasarkan status pemulihan terkini dan pengiraan jangka masa proses rawatan serta agihan.
“Kami akan terus memantau dan menyemak masa sasaran pemulihan dari masa ke masa serta berusaha mempercepat proses pemulihan.
“Bantuan penghantaran lori tangki air dan bantuan air botol ke kawasan terjejas masih diteruskan sehingga bekalan pulih,” katanya kepada SelangorKini.
Pada 24 September lalu, Loji Rawatan Air Semenyih terpaksa ditutup semula bagi kali ke-3 ekoran bau tidak dikenal pasti berukuran amat tinggi (12 TON) di air mentah Sungai Semenyih.
Siasatan sedang giat dijalankan di kawasan tadahan bawah Semenyih dan lima cawang sungai utama sejak ia mula ditutup, pada 22 September lalu.
Zaidy berkata, proses pemulihan dijangka mengambil sedikit masa kerana melibatkan kawasan yang luas dengan ramai pengguna serta memerlukan masa meningkatkan proses pengeluaran dan agihan.
“Maaf atas segala kesulitan dan kelewatan bantuan namun pihak kami sedang berusaha sebaik mungkin. Keutamaan juga diberikan kepada pengguna kritikal seperti hospital dan lain-lain,” katanya.
-NFN-