Categories
NASIONAL

Bekas Pengarah BNM: Cadangan Noh undang tak ketentuan sistem kewangan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 SEPT: Pengumuman Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar untuk memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan boleh menyebabkan harga hartanah meningkat tidak terkawal.

Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini berikutan kadar faedah tinggi dikenakan dan kesan monopoli pemaju besar yang wujud memberi impak negatif kepada sektor perumahan termasuk terhadap sektor perumahan rumah mampu milik.

“Paling menakutkan harga rumah jadi mahal. Pertama disebabkan monopoli dan kedua disebabkan kadar faedah dikenakan ke atas pinjaman tinggi, ini menjadikan harga rumah jadi mahal dan memberi kesan tidak baik kepada pembeli rumah.

“Pemaju juga lebih memilih membangunkan rumah iaitu bukan mampu milik tetapi lebih menumpukan projek perumahan lebih menguntungkan, bagi dia di mana berkemungkinan pembangunan rumah mampu milik terjejas kalau sistem ini dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Dr-Rosli-YaakopJelasnya, sekiranya cadangan itu dilaksanakan turut menyebabkan syarikat yang menjalankan kegiatan memberi pinjaman semakin berkembang dengan tidak terkawal.

“Keadaan ini menyebabkan ‘loan shark’ atau Ah Long dan ini menyebabkan timbul penindasan ke atas pembeli rumah kerana kadar faedahnya tinggi dan bila BNM beri lesen kepada pemaju untuk meminjamkan wang kepada pembeli rumah ini bermakna BNM berikan lesen untuk mereka jalankan aktiviti perniagaan pinjaman wang.

“Ini boleh membawa kepada ketidakstabilan kewangan kerana sukar untuk BNM memantau kegiatan pemberi pinjaman wang ini kerana kita dapat lihat peminjam wang yang ada sekarang pun BNM tak terkawal, apatah lagi kalau pemaju besar juga jalankan aktiviti pinjaman wang,” katanya lagi.

Cadangan Noh itu menerima kritikan pelbagai pihak dan pimpinan Pakatan kerana ia mengundang implikasi negatif terhadap sektor hartanah dan perumahan.

EZY