Categories
SELANGOR

Berbasikal jadi tarikan sambutan kemerdekaan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 SEPT: Acara berbasikal menghiasi program Hari Kemerdekaan negara ke-59 di Bandar Saujana Putra, semalam mendapat perhatian penduduk dan hadirin yang memberi sokongan kepada peserta menyertainya.

Majlis anjuran Kelab Rukun Tetangga (KRT) Zon 8 bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 diterajui Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Tengku Muhamad Tengku Harun, julung kali berlangsung dan menghimpunkan lebih 500 peserta dalam kalangan berbilang bangsa juga usia.

Tengku Muhamad yang juga Orang Besar Daerah Kuala Langat, melahirkan kekaguman dengan sambutan diberikan terutama daripada golongan remaja dan mengharapkan lebih banyak program membabitkan mereka dijalankan pada masa depan.

“Penganjuran pelbagai program dengan penyertaan generasi muda menjadikan mereka terbimbing dengan aktiviti sihat dan membentuk generasi berkualiti buat negara.

????????????????????????????????????

“Majlis seperti sambutan Hari Kemerdekaan ini menjadi pencetus untuk program seterusnya dan dapat diadakan dengan lebih gemilang melalui pembabitan menyeluruh pelbagai pihak berkaitan,” katanya.

Majlis perarakan diiringi lagu Tanggal 31 diketuai sendiri Tengku Muhamad memakan masa kira-kira 40 minit bermula dari padang utama Bandar Saujana Putra melalui beberapa surau dan taman perumahan sekitar bandar itu dalam jarak lebih kurang lima kilometer.

Acara bermula kira-kira jam 7 hingga 11 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti penyampaian sajak, pertandingan peserta paling patriotik kategori remaja dan dewasa serta cabutan nombor bertuah.

-AA-