Categories
NASIONAL

Bloomberg: Proton bakal lepas pegangan sehingga 51%

SHAH ALAM 28 SEPT: Agensi berita antarabangsa Bloomberg melaporkan syarikat pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd akan melepaskan sehingga 51 peratus saham miliknya.

Memetik sumber, Bloomberg diberitahu Proton sedang melihat syarikat Volkswagen AG’s Skoda dan Suzuki Motors Corp sebagai kemungkinan menjadi rakan kongsi.

Laporan itu menyebut ia adalah usaha Proton sebagai sebahagian strategi menarik rakan kongsi dari luar negara dan menambah kecairan tunainya.

Syarikat kewangan Malayan Banking Bhd juga dilaporkan dilantik “memberikan nasihat jualan” dan pegawai syarikat itu dikatakan akan ke Jepun untuk bertemu pegawai syarikat Suzuki minggu hadapan, disusuli dengan pertemuan dengan pegawai syarikat Renault.

Turut dipertimbangkan cadangan dari Renault SA dan PSA Group yang memiliki Peugeot dimana rundingan berasingan dikatakan sedang berlangsung.

Proton berharap dapat menyenarai pendek calon akhir dan melepaskan pegangan majoritinya, termasuk pegangan dalam syarikat dari Britain, Lotus Cars Ltd, pada Oktober.

Bagaimanapun Bloomberg belum mendapatkan sebarang pengesahan mengenai perkara itu dari Proton. Begitu juga tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh syarikat Suzuki, Skoda dan Malayan Banking.

EZY