Categories
KENYATAAN MEDIA

Cadangan Noh Omar bukti jelas kelemahan pengurusan kewangan BN

OLEH : SHUHAIMI SHAFIEI

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2016 di Petaling Jaya, 8 September 2016 berkata kementeriannya bercadang membenarkan pemaju memohon lesen sebagai pemberi pinjaman wang.

Langkah itu katanya diajukan untuk membolehkan orang ramai membeli rumah. Beliau dipetik sebagai berkata yang langkah ini akan “mewujudkan sumber keuntungan kedua” kepada pemaju.

Adakah Noh Omar sedar yang pemberi pinjaman wang berlesen ini kebiasannya mengenakan kadar bunga di antara 12 hingga 18 peratus setahun, – berbanding kadar pembiayaan perumahan biasa yang hanya mengenakan faedah di antara 4 hingga 4.4 peratus setahun?

Noh Omar selaku menteri, sepatutnya berkhidmat kepada rakyat dan bukannya membantu melipatgandakan keuntungan pemaju yang kebiasaannya menikmati keuntungan pra-cukai di antara 15 hingga 20 peratus bagi setiap projek perumahan mereka.

Cadangan ini juga bertentangan dengan semangat diskaun 7 hingga 10 peratus bagi pemohon bumiputera membeli rumah mereka. Apalah makna ada diskaun untuk membeli rumah jika pembeli akhirnya menjadi hamba untuk melangsaikan hutang dengan bunga setinggi 18 peratus setahun?

Kita bernasib baik di Selangor, diskaun ini sentiasa dikekalkan dan polisi ini digabungkan pula dengan harga rumah yang benar-benar mampu milik.

Sewaktu Selangor giat melaksanakan dasar rumah mampu milik untuk rakyat, Noh Omar selaku Pengerusi BN Selangor pula bersungguh-sungguh mahu rakyat dikenakan kadar faedah sehingga 18 peratus di atas nama ‘pemilikan rumah’.

selangorku rumahCadangan ini tidak lain, tidak bukan adalah satu skim untuk memperkayakan pemaju dengan segera dan pada masa sama memangsakan pembeli, seterusnya memufliskan rakyat.

Hanya satu kesimpulan yang kita boleh rumuskan daripadanya; keluarga miskin dengan impian memiliki rumah akan berhadapan risiko kemusnahan pengurusan kewangan jika ia dilaksanakan.

Kenyataan sebegini dari seorang menteri UMNO tidaklah begitu mengejutkan kita kerana beliau dilantik oleh bosnya yang terkenal dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dengan tindak tanduk politik dendamnya di dalam penarikan balik kontrak Worldwide Holding Berhad dicampurkan dengan kes ini, Noh Omar sekaligus telah menghancurkan sebarang sisa reputasinya (jika ada) untuk mempersoalkan dasar-dasar perumahan Selangor dengan cadangan tidak masuk akal ini.

* SHUHAIMI SHAFIEI adalah Setiausaha Politik Kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor / Ketua Penerangan KEADILAN Selangor