OLEH ERMIZI MUHAMAD
SABAK BERNAM, 2 SEPT : Pembinaan Dataran Niaga di Kampung Luput Bata, di sini berpontesi menjana perolehan ekonomi peniaga secara efektif dan berkesan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keberkesanannya diyakini mampu memasarkan produk tempatan sekali gus mendatangkan manfaat jangka panjang kepada 60 peniaga tempatan.
“Saya berharap Dataran Niaga ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung dan peniaga di sini.
“Secara tidak langsung, dengan adanya kemudahan ini, ianya mampu meningkatkan pendapatan dan taraf ekonomi rakyat Selangor, khususnya penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Dataran Niaga Bagan Terap juga penyampaian bantuan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Pembinaan Dataran Niaga dengan kos peruntukan sebanyak RM150,000 dengan keluasan 1,698 meter persegi (0.4195) ekar dilengkapi kemudahan pentas dan fasiliti tandas lelaki dan perempuan.
Penyediaan Dataran Niaga baru ini juga menjadi landasan terbaik kepada peniaga tempatan meneruskan aktiviti perniagaan Tapak Pasar Ahad dan Pasar Pagi, setiap hari.
Sebelum ini, peniaga tempatan menjalankan urusan perniagaan di atas tapak lama dengan kapasiti terhad dan kurang fasiliti.
-nR-