OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 1 SEPT: Masyarakat digesa menghadkan aktiviti keluarga di luar rumah terutamanya ketika waktu senja dan subuh khusus bagi penduduk Daerah Klang.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, arahan itu dikeluarkan setelah negara dikejutkan dengan kes pertama virus Zika apabila seorang wanita dari Taman Botanic, Klang disahkan positif virus tersebut selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu.
“Bagi tempoh seminggu ini, masyarakat sekitar Daerah Klang dinasihat tidak melakukan aktiviti pada waktu nyamuk Aedes paling aktif.
“Ini adalah kerana dikhuatiri nyamuk-nyamuk Aedes akan membawa virus Zika setelah ia menggigit mangsa yang telah dijangkiti merebak kepada yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jika terdapat simptom-simptom seperti demam, ruam, sakit otot dan sakit kepala, masyarakat dinasihatkan segera mendapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran.
“Kerajaan Negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK), telahpun mengambil langkah proaktif dengan mengenalpasti lokasi kawasan kediaman dan lokasi yang telah dilawati pesakit seterusnya melaksanakan aktiviti kawalan dengan memusnah tempat-tempat pembiakan Aedes dan semburan kabus.
“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan agensi berwajib untuk melaksanakan kempen kesedaran terutamanya kepada penduduk sekitar,” katanya.
-nR-