Categories
SELANGOR

Jadikan Almarhum Haron Din ikon pimpinan & ilmuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 SEPT: Generasi muda seharusnya menjadikan Almarhum Datuk Dr Haron Din sebagai ikon dan mencontohi beliau selaku pemimpin serta tokoh ilmuan Islam.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata di sepanjang hayatnya Almarhum membuktikan ketokohannya sebagai ulama dan ahli politik disegani namun disenangi semua pihak.

“Pemergian beliau amat terkesan kepada kita semua dan sebagai generasi muda, saya dan rakan lain seharusnya mencontohi beliau.

“Seperti mana dapat dilihat solat sunat jenazah ghaib diimamkan cucunya maka kita sebagai generasi pelapis perlu bersungguh-sungguh menguasai ilmu sepertinya,” katanya.

solat-jenazah-ghaib-ustaz-haron-din-di-majid-negeri-asri-1Solat sunat jenazah ghaib untuk Mursyidul Am PAS diimamkan cucunya, Hakim Hamdi, 17, di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam sambil disertai lebih 5,000 jemaah termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin lain.

Haron, 76, berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam Syariah Islam dan mantan Timbalan Dekan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terkenal sebagai tokoh ilmuan Islam di peringkat antarabangsa.

Beliau menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Stanford University, San Francisco, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi (waktu Malaysia), Jumaat lalu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat selepas solat Jumaat waktu tempatan.

“Pemergiannya diharap memberi iktibar kepada kita semua dan berdoa semoga bertambah alim ulama di kalangan generasi baru,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer itu.

EZY