OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 1 SEPT: Hasil jualan peserta program Graduate Realizing Opportunities Way-Forward (GROW) mencecah RM16.3 juta setakat 2015.
Setiausaha Kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Roziah Ahmad, berkata jumlah itu adalah jualan keseluruhan peserta sejak mula dilaksanakan pada 2006.
“Tidak mustahil hasil pendapatan keseluruhan seperti disebutkan tadi akan menjadi pendapatan syarikat anda dalam masa hanya satu tahun.
“Ia mampu dicapai jika anda terus melakukan inovasi, mencari ruang penambahbaikan, berani melakukan luar daripada kebiasaan dan bekerja kuat dengan penuh iltizam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Graduasi Peserta GROW dan Retail PKNS 200 di PKNS Bizpoint, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS, Azilah Arshad dan Konsultan GROW, Mohd Salim Yusoff.
Seramai 30 peserta GROW iaitu 10 peserta bagi sesi 2014 dan 20 peserta bagi sesi 2015 berjaya menamatkan program yang mengambil masa selama enam bulan bagi setiap sesi.
Selepas sepuluh tahun, GROW atau nama asalnya PHASER PKNS sudah melahirkan 213 peserta sehingga kini.
Roziah berkata, hanya 13 daripada 78 peserta Retail 200 berjaya menamatkan kesemua latihan dan bimbingan mengikut modul ditetapkan.
“PKNS tidak mahu anda menceburi bisnes secara ala kadar tetapi perlu mencipta budaya niaga luar biasa,” katanya.
-AA-