SHAH ALAM, 22 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) optimis melepasi pusingan pertama Liga Bolasepak Rakyat (LBR) pada penyertaan julung kali.
Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi merangkap presiden kelab yakin pemain dipilih mampu mengangkat nama MPK ke peringkat lebih tinggi.
“Sebelum ini MPK lebih senonim sebagai badan menyelia isu sampah dan banjir, namun kali ini kita mahu tampil dengan imej bola sepak,” lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan jawatankuasa bola sepak MPK dan sesi memperkenalkan pemain bola sepak LBR di Klang, kelmarin.
Mengakui pasukannya pendatang baru dalam arena bola sepak, Adi percaya MPK mampu mempamerkan imej terbaik dalam dan luar padang.
Mengulas prestasi anak buahnya, Adi berkata barisan pemain kini bersemangat memulakan saingan walaupun baru sebulan dikumpulkan pada sesi pemilihan.
Musim ini, MPK dibarisi 30 pemain yang majoritinya berasal sekitar Klang dan dibimbing pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri.
MPK memulakan kempen bertandang ke tempat lawan berdepan Paya Besar, wakil dari Pahang pada 1 Oktober depan.
-nR-