Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN sokong BERSIH 5 tuntut pilihan raya adil

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 SEPT : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan penganjuran BERSIH 5 yang bakal diadakan 19 November ini.

Beliau berkata, ketetapan itu dibuat bagi memastikan prinsip perjuangan menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil dilaksanakan secara telus di negara ini.

“Saya mengalu-alukan pengumuman BERSIH untuk berhimpun pada 19 November depan bagi meneruskan perjuangan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“Ayuh berikan sokongan penuh anda kepada himpunan ini yang bertemakan “Satukan Tenaga, Malaysia Baru!” katanya di Facebook.

Bersih dalam sidang medianya hari ini mengumumkan 19 November ini sebagai himpunan menuntut pentadbiran negara yang lebih telus, berintergriti dan bebas rasuah.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata beberapa acara konvoi seluruh negara bakal dianjurkan menjelang himpunan itu, bermula 1 Oktober.

“BERSIH 2.0 percaya tidak mengadakan protes bukanlah satu pilihan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata KEADILAN juga bakal menggerakkan seluruh pimpinan KEADILAN negeri menyokong gerakan konvoi BERSIH di setiap negeri.

“KEADILAN mempunyai wakil rakyat di setiap negeri terdiri daripada Ahli Parlimen atau Adun.

“Jadi salah satu kemungkinan, kita mengarahkan pimpinan kita menerusi Majlis Pimpinan Negeri menggerakkan anggota turun beramai-ramai,” katanya kepada SelangorKini.

EZY