Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri kesal KPKT tamatkan kontrak WHB

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 SEPT: Tindakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan keputusan penyambungan kontrak Worldwide Holdings (WHB) amat dikesali.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata ia adalah tindakan berbentuk sabotaj dan berniat jahat oleh Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan ini secara langsung menjejaskan operasi pengurusan sampah dan menindas rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri melahirkan rasa yang amat kesal dan malu dengan tindakan terbaru KPKT di bawah Tan Sri Noh Omar ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, WHB dilantik sebagai operator Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21 oleh KPKT selama lima tahun, bermula 22 Mei 2012 hingga 21 Mei 2017.

ZAIDY ARGOIa memberi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Terdahulu, WHB diluluskan untuk tempoh tambahan dua tahun sehingga 22 Mei 2019 melalui surat KPKT bertarikh 10 Mei 2016, namun dibatalkan menerusi surat terbaru bertarikh 3 Ogos 2016.

Zaidy berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bermesyuarat pada 8 September 2016 dan mengarahkan Kamar Undang-undang meneliti perkara itu dengan terperinci.

“Antaranya kita minta supaya KPKT menarik semula pembatalan berkenaan sebelum sebarang tindakan selanjutnya dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya.

-AA-