OLEH SYASYA SUFIAN
KLANG, 4 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang mengambil tindakan pantas menjejaki tempat persinggahan mangsa zika.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Dorayah Alwi, berkata apabila mangsa disahkan positif menghidap virus itu, PKD segera membuat kawalan di beberapa kawasan yang dikenal pasti pernah menjadi persinggahan mangsa.
“Apabila mangsa pulang dari Singapura, kita mengambil langkah menjejaki tempat yang mangsa lalui untuk membuat tindakan ‘fogging’ dan hapus pembiakan Aedes.
“Seperti hari ini, kita melaksanakan aktiviti gotong-royong, pemantauan juga kawalan di seluruh kawasan Bandar Botanic Klang,” katanya selepas menghadiri Program Gotong-Royong kebersihan Ad-Hoc di sini, pagi tadi.
Turut Hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji; Penolong Pegawai Kesihatan PKD, Nor Azam Ashar; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Majlis juga Jawatankuasa Penduduk (JKK).
Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKD, Nor Azam Ashar menyeru penduduk untuk bekerjasama dengan PKD dan MPK dalam menangani masalah itu.
“Melalui PKD, kita melaksanakan aktiviti kawalan di persekitaran tempat kediaman, jadi kita mohon penduduk memberikan kerjasama membersihkan premis masing-masing.
“Ini kerana terdapat dua jenis nyamuk yang menjadi punca kepada penyakit demam denggi juga Zika dan dikhuatiri adalah nyamuk jenis aegupti membiak di dalam rumah,” katanya.
-AA-