OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 27 SEPT: Kepelbagaian budaya dan tarikan pelancongan negeri mendorong pentadbiran bandar Taichung membuka peluang kerjasama bersama Selangor.
Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Kebudayaan Bandar Taichung, Wang Chih Cheng, berkata pihaknya melihat perkembangan potensi kebudayaan negeri yang boleh dibangunkan demi manfaat bersama.
“Kami dimaklumkan Selangor turut terkenal dengan elemen kebudayaan dan pelancongan yang diyakini boleh menyumbang kepada ruang kerjasama antara kedua-duanya.
“Sebagai contoh amalan budaya masyarakat Mahmeri Selangor yang tentunya menjadi tarikan kepada kami untuk meningkatkan peluang kerjasama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perbincangan bersama Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Sebelumnya, Elizabeth turut memberi penerangan kepada Chih Cheng selaku Ketua Delegasi Taichung yang hadir sebagai rangka kerja hubungan pelancongan antara Selangor dan Taichung.
Antara fokus perbincangan turut mempelawa Selangor untuk terlibat secara langsung menerusi penganjuran Festival Kesenian dan Budaya di Taichung, tahun depan.
Menyambut baik pelawaan tersebut, Elizabeth optimis untuk terus mengadakan perbincangan lanjutan bersama pimpinan negeri bagi untuk tujuan tersebut.
EZY