Categories
SELANGOR

Kesedaran hapus Aedes masih rendah

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 SEPT: Masih ramai dalam kalangan masyarakat memandang enteng usaha membanteras Aedes bagi mengurangkan wabak demam denggi di Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, perkara itu boleh dilihat apabila hanya segelintir penduduk di Pusat Komersial Sekyen 7, di sini menyertai operasi terjah denggi anjuran Kerajaan Negeri, baru-baru ini.

Katanya, perkara itu amat dikesali memandangkan kawasan terbabit antara yang tertinggi merekodkan kes demam denggi di Shah Alam.

“Baru-baru ini, saya menyertai operasi terjah denggi bersama Dr Daroyah Alwi di Pusat Komersial Sekyen 7 ekoran kawasan ini kebanyakannya dihuni penyewa juga pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Operasi malam dilakukan bagi memastikan penghuni ada di rumah masing masing memandangkan siang mereka bekerja atau ada kuliah, namun hanya segelintir penduduk turun bersama dalam operasi ini.

img-20160906-wa0012“Ramai tidak kisah dengan apa yang berlaku,” tulisnya di Facebook.

Yaakob berkata, daripada tiga rumah yang dilawati, dua daripadanya didapati memiliki jentik-jentik Aedes.

Beliau turut menjangkakan sekurang-kurangnya 75 peratus penghuni membiak jentik-jentik Aedes di dalam rumah jika operasi terjah dapat dilakukan secara menyeluruh.

“Memang orang kita tidak kisah dengan apa yang berlaku walaupun dalam rumah sendiri.

“Takkanlah rumah sendiri minta orang lain kemaskan?” kesalnya.

-AA-