OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 21 SEPT: Prinsip keterbukaan diamalkan di Universiti Selangor (UNISEL) menjadi pemangkin kepada masa depan institusi pendidikan negara yang lebih cemerlang.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, berkata prospek demokrasi pendidikan mahasiswanya lebih terbuka dan berani berbanding institusi pendidikan awam kerajaan.
“Saya yakin ketika di universiti lama saya dahulu, tidak mungkin program perbincangan atau wacana itu dapat diadakan.
“Warga UNISEL harus bangga kerana universiti ini mampu berdiri kukuh dan berani mengadakan program wacana perbincangan yang lebih terbuka kepada warganya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada wacana ; Merdekakah Media Kita anjuran Sinar Harian di Auditorium Universiti Selangor (UNISEL), semalam.
Laporan sebelum ini mendakwa, Mohammad Redzuan yang juga bekas pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) diminta meletak jawatan dan hak pelantikannya sebagai dekan di Universiti Malaya (UM) tidak disambung.
Keputusan tersebut dikatakan berkait hasil penyelidikan beliau dan Umcedel yang mengkritik manifesto Kerajaan Persekutuan, berbanding manifesto Pakatan yang lebih popular.
EZY