OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 20 SEPT: ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, merupakan gambaran terbaik terhadap graduan Kolej Antarabangsa Inpens iaitu Mohamad Shafawi Zainuddin, 20.
Masakan tidak, graduan itu bukan sahaja menggenggam sijil kemahiran dalam bidang dandanan rambut, tetapi pada masa sama dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Dato’ Menteri Besar Selangor.
Daripada 557 graduan, beliau terpilih berdasarkan kecemerlangan akademik, sumbangan kepada kolej dan pembabitan kokurikulum sepanjang tempoh pengajian.
Beliau menerima piala pusingan, piala iringan, set peralatan dandanan rambut dan wang tunai.
Shafawi ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen menzahirkan rasa terkejutnya berikutan dipilih sebagai penerima anugerah itu.
“Sangat gembira dengan anugerah ini. Saya tidak menyangka terpilih. Saya pernah rasa kecewa dalam meneruskan pengajian namun dengan sokongan dan semangat diberikan keluarga, kawan-kawan dan guru-guru, saya teruskan usaha ini,” katanya.
Beliau berkata walaupun dibesarkan dalam keluarga angkat sejak kecil, namun sokongan diberikan menjadikannya lebih beliau lebih kuat.
“Saya pernah menyertai pelbagai pertandingan tetapi tidak pernah menang. Saya rasa kecewa dan tidak menyangka masih ada peluang untuk memajukan diri.
“Tahun lepas, saya menyertai pertandingan untuk kelayakan Asia. Saya berjaya memasuki peringkat akhir,” katanya yang kini bekerja di Thomas and Guys, SACC Mall.
Shafawi merancang untuk menyambung pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dan bercita-cita untuk menjadi pendidik.
Seramai 557 graduan menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-20. Mereka adalah graduan yang tamat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Pendawaian Elektrik (PW2 dan PW4).
Sebanyak 10 bidang kemahiran ditawarkan iaitu Sektor Automotif, Kejuruteraan Elektrik, Teknologi Elektronik, Motorsikal, Teknologi Maklumat, Penyamanan, Dandanan Rambut, Fesyen dan Pembuatan Pakaian, Kulinari dan Kosmetologi.
EZY