Categories
SELANGOR

Lab Smart Selangor bincang ‘Smart Safety and Security’ dan ‘Smart Healthcare’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 SEPT: Lab Smart Selangor diteruskan dengan perbincangan ‘Smart Safety and Security’ dan ‘Smart Healthcare’ oleh agensi kerajaan dan jabatan berkaitan.

Peserta lab, Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Jurasmadi Pauzi, berkata perbincangan tertumpu kepada keperluan sistem keselamatan bersepadu di peringkat negeri.

“Buat masa ini, sistem di setiap jabatan atau agensi adalah berbeza dan memerlukan setiap pihak memohon peruntukan untuk tujuan keselamatan.

“Diharap, aspek keselamatan ini menjadi dasar utama Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Selangor tempat selamat untuk rakyat dan juga pelabur, seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau bersama 28 peserta lain menyertai Lab Smart Selangor – Smart Safety and Security, di Hotel Saujana, di sini.

Bagi Setiausaha Kanan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Mohd Hanafi Jusoh, Lab Smart Selangor mampu menyumbang kepada penambahbaikan program kesihatan sedia ada dan yang bakal dilaksanakan.

“Melalui perkongsian pandangan dan input seperti hari ini, kita dapat menilai idea terbaik untuk dilaksanakan di peringkat negeri.

“Kesihatan yang baik dalam kalangan rakyat dan penjawat awam mampu melonjakkan produktiviti seterusnya menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya yang menyertai Lab Smart Selangor – Smart Healthcare.

Sementara itu, wakil perunding Frost & Sullivan, Richard Sebastian berkata, peserta memberikan maklum balas baik sepanjang perbincangan.

“Semua peserta bersetuju kepentingan setiap domain dibincangkan dan faham hala tuju Smart Selangor.

“Kami yakin penyertaan dan sumbangan idea mereka dapat memberikan input terbaik untuk pertimbangan Kerajaan Negeri merealisasikan Selangor sebagai Smart State,” katanya.

-nR-