OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 13 SEPT: Seramai 24 pelajar Universiti Lancaster, United Kingdom sertai Karnival Permainan Tradisonal dan Buah Tempatan anjuran Universiti Selangor (UNISEL), baru-baru ini.
Menurut laman rasmi UNISEL, pelajar dari UK itu hadir sebagai sukarelawan sempena Kem Tahunan Bahasa Inggeris anjuran Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Ijok, Dr. Idris Ahmad bersama ‘The Reading Bus Club’ dan Universiti Sunway.
“Pelajar didedahkan dengan tradisi Malaysia antaranya aluan kompang Melayu dan alat muzik India serta disambut dengan tarian singa yang terkenal dalam komuniti Cina.
“Mereka juga diperkenalkan dengan permainan tradisi termasuk tarik upih, batu seremban, congkak, ketingting, lastik getah, lompat tikus dan jalan atas tempurung kelapa,” katanya dalam kenyataan.
Karnival dijayakan oleh 42 pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Awal Kanak-Kanak UNISEL itu adalah kesinambungan program Karnival Permainan Tradisional (KAPETRA) yang berlangsung di UNISEL Bestari Jaya awal tahun ini.
Idris berkata, karnival itu dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada orang luar disamping memberi ruang buat para pelajar UNISEL dan komuniti Ijok berinteraksi dengan warga asing dalam bahasa Inggeris.
-nR-