Categories
SELANGOR

Maksimum penalti RM1,000 buang sampah haram perlu dinaikkan

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 8 SEPT: Maksimum penalti RM1,000 kepada pesalah sampah
haram perlu dikaji semula, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han.

Beliau berkata, kadar baru lebih tinggi perlu dipertimbang bagi membendung masalah berulang membabitkan tapak pembuangan sampah haram.

“Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri dan agensi berkenaan mengkaji kadar RM1,000 ketika ini, sama ada ia mampu menggerunkan pesalah.

“Kadar RM1,000 nampaknya tidak menjadi masalah kepada pesalah, malah
mereka selepas dikenakan tindakan, berani mencari kawasan lain untuk dijadikan tapak pembuangan sampah haram,” katanya.

Terdahulu, beliau menyertai lawatan tapak ke tapak pembuangan sampah haram di Taman Perindustrian Puchong, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengenakan kompaun RM1,000 dan sitaan lori kepada pesalah yang membuang sampah secara haram.

Sze Han berkata, kaedah pelupusan sisa pembinaan juga harus dikaji bagi mewujudkan situasi menang-menang di antara kontraktor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mungkin kontraktor tidak tahu di mana tempat untuk melupuskan sisa binaan atau kosnya terlalu tinggi.

“Jadi, satu kaedah diperlukan, di mana dan bagaimana mereka dapat menghantar sisa binaan ke tempat ditetapkan dengan kos mampu tanggung,” katanya.

EZY