KLANG, 18 SEPT: Sekumpulan penduduk ditimpa musibah banjir air laut di Kampung Tok Muda, di sini, hari ini, menerima bantuan asas segera daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.
Beliau yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, turun membuat tinjauan dan melawat mangsa di kampung dalam DUN diwakilinya itu.
Dalam kenyataan di laman sosial facebooknya, beliau menjelaskan pihaknya menghulurkan bantuan asas segera berupa sarapan pagi dan makan tengahari.
“Sebanyak 150 bungkus makanan disediakan untuk diedarkan kepada penduduk yang terlibat.
“Tindakan kami meminta mangsa yang menerima musibah memberikan nama dan nombor kad pengenalan untuk kami membuat laporan polis dan bagi memberi sedikit bantuan segera,” katanya.
Kira-kira 40 kediaman penduduk kampung itu terjejas apabila air laut pasang tinggi melepasi ban menyebabkan rumah mereka dinaiki air secara tiba-tiba kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Daroyah berkata, setakat ini penduduk tidak boleh membersihkan rumah sepenuhnya kerana Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan kejadian sama dijangka berulang pada esok hari.
“Semoga mereka sabar dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau selanjutnya berkata, DUN Sementa tetap diutamakan dan pembangunan desa dapat diteruskan serta tidak terabai tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.
EZY