OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 13 SEPT: Lanjutan permasalahan sistem pengangkutan awam negara disifatkan sebagai mimpi ngeri bagi seluruh rakyat Malaysia, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengundang permasalahan berterusan sekali gus mencetuskan kebimbangan rakyat.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengaitkan kematian membabitkan pekerja MRT di Singapura, enam bulan lalu yang mana keadaan sama tidak mustahil boleh berlaku di negara ini.
“Kemalangan itu berlaku kerana bekalan kuasa tidak dimatikan sebelum kedua-dua kakitangan tiba di lokasi penggera seperti yang diwajibkan mengikut Prosedur Pengendalian Standard (SOP) SMRT.
“Jika kakitangan syarikat SMRT pun memerlukan bekalan kuasa di trek kereta api dimatikan apabila berada di tengah-tengah laluan pejalan kaki di landasan kereta api, apatah lagi orang awam biasa?
“Malaysia bernasib baik kerana semua penumpang yang terkandas di aliran Kelana Jaya bergerak ke stesen yang terdekat dengan selamat, namun Rapid Rail tidak boleh memandang remeh isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada insiden pengguna transit aliran ringan (LRT) yang terpaksa berjalan di landasan selepas bekalan elektrik terputus, pada 7 dan 9 September lalu.
Bukan pertama kali, insiden hampir sama berlaku pada 2015 dengan 80 penumpang berdepan detik cemas apabila tren dinaiki rosak dan tersangkut di landasan.
Susulan itu, masalah sama berulang apabila sistem pintu LRT di Stesen Abdullah Hukum gagal berfungsi dan menyebabkan pengguna terkandas di stesen masing-masing.
“Kita sewajibnya mendesak keprihatinan serta kebertanggungjawaban Prasarana dan RapidKl dalam menjaga keselamatan pengguna.
“Lebih-lebih lagi apabila masalah ini berpunca daripada kelemahan pihak LRT sendiri,” katanya.
-AA-