Categories
SELANGOR

MB: Pencemar sumber air berhadapan tindakan tegas

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri sedia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran air di Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri tidak berkompromi dengan perbuatan itu yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor.

“Kita bertindak tegas terhadap pelaku yang mencemar air di Hulu Langat kerana ia menyebabkan kesusahan kepada ratusan ribu rakyat di negeri ini.

“Siasatan dijalankan dan kita bentangkan dalam perbincangan di peringkat Air Selangor untuk pertingkatkan lagi langkah keselamatan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sebelum ini, Kerajaan Negeri telah pun mengambil langkah drastik dalam memastikan tiada aktiviti boleh mencemarkan air.

“Kita mengambil langkah cukup drastik dalam tempoh beberapa tahun lalu untuk melihat semula semua jenis aktiviti di tebing sungai dan kita juga mula memutihkan kawasan berkenaan supaya tiada industri di tebing sungai.

“Tetapi sekarang, apa yang berlaku pada minggu lepas, pihak LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Air Selangor sedang mengambil langkah meneliti untuk mencari punca sebenarnya berlakunya pencemaran tersebut,” katanya.

EZY