OLEH NAZLI IBRAHIM
PUCHONG, 24 SEPT: Kejayaan atlit negara pada temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa sudah tentu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata lebih membanggakan khususnya bagi rakyat apabila Muhammad Ziyad Zolkefli berasal dari Gombak turut mencipta rekod dunia bagi acara lontar peluru dengan lontaran sejauh 16.84 meter.
Rekod itu sekaligus memadam rekod 16.29 meter yang dicipta Todd Hodgetts di Paralimpik London empat tahun lalu.
“Mereka selamat pulang ke tanah air bukan dengan tangan kosong tetapi dengan pingat emas dan rekod dunia baru yang sudah tentu menjadi kebangaan rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor.
“Kerajaan Negeri sedang meneliti apakah bentuk penghargaan sewajarnya diberikan dan saya umumkan pada lawatan saya untuk menemui Ziyad dan keluarganya di Gombak dalam masa terdekat nanti,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama di sini, semalam.
Sebelum itu, kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Jeneiro berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa.
Selain Muhammad Ziyad, pingat emas turut dimenangi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara larian 100 meter kategori T36 dan atlet lompak jauh, Abdul Latiff Romly yang juga memecahkan rekod sukan Paralimpik.
Atlet wanita bagi acara sukan lompat jauh, Siti Noor Radiah Ismail turut menyumbangkan pingat gangsa menerusi kategori T20.
EZY