OLEH NAZLI IBRAHIM
PUCHONG, 23 SEPT: Kerajaan Negeri akan memulakan prosiding perundangan bagi membantah cadangan persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya tidak menerima sebarang jawapan sehingga tamatnya tempoh 48 jam iaitu esok.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prosiding perundangan diambil apabila peguam yang dilantik mendapati SPR melanggar prinsip perlembagaan.
“Kita sudah bincangkan di peringkat parti dan peguam bagi melihat cadangan yang dikemukakan SPR. Tumpuan kita hari ini adalah menggunakan semua ruang perundangan bagi membantah cadangan yang dipamerkan, pada 15 September lalu kerana hasil maklum balas peguam jelas menunjukkan SPR melanggar prinsip perlembagaan dalam mengemukakan cadangan persempadanan semula.
“Khususnya di persempadanan di Selangor, ia boleh menjejaskan keharmonian kaum di dalam negeri ini dan memecah belahkan kesejahteraan rakyat yang mempunyai latar belakang pelbagai agama, budaya juga tradisi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama, di sini, hari ini.
Katanya, ia berikutan Kerajaan Negeri dua hari lalu menghantar notis kepada SPR dan memberi tempoh 48 jam supaya SPR mengadakan perbincangan atau sekurang-kurangnya memberi alasan bertulis mengenai asas serta mekanisma yang digunakan dalam pembentukan sempadan baru.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata, parti itu juga bersedia menggerakkan ahlinya di setiap kawasan bagi mengemukakan bantahan sama kepada SPR.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, terdapat tiga pihak yang boleh menghantar bantahan persempadanan semula oleh SPR iaitu pertama Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan 100 pengundi bagi sesuatu kawasan.
“Kita sedang gerakkan ahli kita di semua peringkat untuk kemukakan bantahan kepada SPR dalam tempoh yang diperuntukkan oleh perlembagaan iaitu 30 hari, bermula 15 September lalu,” katanya.
-NFN-