OLEH NAZLI IBRAHIM
BANGI, 4 SEPT: Kerajaan Negeri memerlukan sokongan semua pihak khususnya gerakan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi menjayakan program pencerdasan umat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata program seumpama itu diperlukan bagi mengelakkan rakyat terpengaruh dengan program pembodohan umat dijalankan pihak lain.
“Maka pada malam ini sekali lagi saya tampil untuk memberikan komitmen saya, dokongan saya secara peribadi dan juga bagi pihak Kerajaan Negeri termasuk usaha sedang dipelopori bagi membina Anjung Rahmat, Pusat Dakwah dan Tarbiah Wadah,” kata Mohamed Azmin.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Tautan Ukhwah WADAH yang diadakan di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi di sini, malam tadi.
Sementara itu, majlis makan malam itu turut dihadiri Ketua Pembangkang Dewan Rakyat yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; ADN Bangi, Mohd Shafie Ngah; Presiden Universiti Selangor (UNISEL), Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, Presiden WADAH, Ahmad Azam Ab Rahman dan ramai lagi.
EZY