OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 16 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merakamkan ucapan takziah atas pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, pagi tadi.
Mohamed Azmin melalui Twitternya, mendoakan Almarhum mendapat husnul khatimah.
“Al Fatihah. Semoga Almarhum Ustaz Haron Din mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di Syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT,” tulisnya.
Beliau turut mengimbau bertemu Almarhum sehari sebelum berlepas ke Amerika Syarikat di Masjid Al Umm, Bangi.
“Saya sempat bersama Almarhum Ustaz Haron Din sehari sebelum beliau berlepas ke Amerika Syarikat dalam majlis sumbangan dana untuk Masjid Al Umm, Bangi,” katanya.
Almarhum meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia.
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, menerusi akaun rasmi Facebook miliknya sebentar tadi.
Haron, 76, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak malam ketika menjalani rawatan jantung di hospital berkenaan.
Haron berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.
Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital berkenaan pada 2 April 2012.
Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.
EZY