OLEH SYASYA SUFIAN
PETALING, 28 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited memperketatkan kawalan terhadap aktiviti pengurusan sisa pepejal dengan melaksanakan pendaftaran kontraktor swasta memberikan perkhidmatan itu.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata pendaftaran itu bertujuan mengawal aktiviti kontraktor menguruskan proses pelupusan sisa pepejal seterusnya mengekang gejala pembuangan sampah haram.
“Objektif ini adalah menguruskan sisa pepejal bermula dari peringkat perancangan, operasi dan perlesenan demi mencegah penjanaan jumlah sampah berleluasa.
“Ia juga dilihat dapat memberi fokus kepada prinsip 3R (Recycle, Reuse, Reduce), Pollusters Pay dan ‘Waste is Resources’,” katanya ketika Mesyuarat MBPJ di menara MBPJ, di sini, hari ini.
Mohd Azizi berkata, bermula Januari tahun depan, sektor yang tidak menerima perkhidmatan kutipan sisa pepejal domestik, sisa pukal dan sisa kebun dikehendaki menggunakan perkhidmaran kontaktor panel swasta berdaftar.
Penggunaan servis pelupusan sampah kontraktor panel swasta merupakan prasyarat kepada permohonan lesen perniagaan, lesen penjajaan, permohonan permit menganjurkan program dan lain-lain.
“Ia dilihat dapat mencegah pembuangan sampah secara haram dan tidak teratur.
“Selain itu, keseragaman ini memastikan amalan pengasingan sampah khususnya sampah domestik, sampah pukal dan sampah berjadual dilakukan di peringkat punca penjanaan selain memantau lokasi dan destinasi pelupusan sampah yang dijanakan sektor ini,” katanya.
EZY