Categories
SELANGOR

MBSA bentang belanjawan 2017 anggar hasil RM443 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan Belanjawan 2017 dengan anggaran hasil sebanyak RM443.05 juta

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata perbelanjaan dianggar RM470.3 juta dengan defisit sebanyak RM27.3 juta itu ditampung menggunakan rizab semasa MBSA sekitar RM132 juta.

“Anggaran perbelanjaan terdiri daripada belanja mengurus sebanyak RM341.1 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM129.2 juta.

“Peruntukan perbelanjaan bertambah RM26.9 juta atau 6.1 peratus berbanding 2016.

“Belanja mengurus diberikan peruntukan 72.5 peratus daripada jumlah besar perbelanjaan, meningkat RM22.9 juta atau 7.2 peratus berbanding 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2017 MBSA.

Katanya, belanja pembangunan pula diperuntukkan RM129.2 juta dengan peningkatan sebanyak 3.2 peratus atau RM4 juta berbanding 2016.

“Sebanyak 61.4 peratus adalah semua projek seperti menaiktaraf bangunan, infrastruktur dan lain-lain manakala 38.5 peratus bagi perkhidmatan dan bekalan seperti penyelenggaraan pokok, longkang serta kutipan sampah,” katanya.

Ahmad Zaharin berkata, hasil cukai iaitu kutipan cukai taksiran dijangka meningkat RM14 juta (5.3 peratus) dan menyumbang RM280.7 juta atau 63.3 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil.

“Hasil bukan cukai dijangka menyumbang RM129.7 juta atau 29.3 peratus daripada keseluruhan hasil.

“Ia dijangka menurun sebanyak RM6.5 juta iaitu 4.8 peratus.

“Sewaan merupakan hasil utama dalam kategori ini kerana menyumbang sebanyak 27.6 peratus daripada hasil bukan cukai,” katanya.

Manakala terimaan bukan hasil dijangka menyumbang RM32.5 juta atau 7.4 peratus daripada sumber Geran Keseimbangan dan Geran Bayaran Lampu Jalan diterima dari Kerajaan Persekutuan serta bayaran balik GST.

EZY