OLEH SYASYA SUFIAN
AMPANG, 2 SEPT: Lebih RM50,000 berjaya dikutip Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam operasi Sita Cukai Taksiran di 11 premis di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, baru-baru ini.
Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, operasi itu dilakukan susulan premis terbabit gagal melunaskan cukai taksiran mengikut tempoh ditetapkan.
“Tiga jenis premis yang diserbu MPAJ adalah jenis kondominium, pangsapuri dan rumah teres dua tingkat.
“Lokasi sasaran seterusnya adalah di Pandan Indah, Taman Melawati dan Bandar Baru Ampang, justeru orang ramai disaran menyelesaikan tunggakan cukai sebelum operasi dijalankan ke premis masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat penuh MPAJ, di sini, pada 30 Ogos lalu.
Pada masa sama, Hamid berkata, impak daripada operasi itu menyebabkan MPAJ menerima 980 panggilan berkenaan kaedah bayaran cukai taksiran yang boleh dilakukan pemilik.
Selain itu, katanya, penggunaan kiosk cukai taksiran selepas waktu pejabat juga meningkat kepada 827 transaksi dengan jumlah kutipan RM337,741.39.
“Manakala penerimaan kutipan di MPAJ dan Pejabat Tanah Daerah sebanyak 1,374 transaksi dengan jumlah kutipan RM362,664.35,” katanya.
-AA-