Categories
SELANGOR

MPSJ anjur pelbagai program untuk manfaat belia

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 18 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalankan pelbagai program sukan dan kemasyarakatan untuk disertai orang ramai terutama golongan belia di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata program terbabit dijalankan secara berterusan supaya masyarakat dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia dapat turut serta dengan aktif.

“Bukan setakat sukan seperti boling, sepak takraw dan lainnya tetapi juga program antaranya gotong royong, ceramah dan sebagainya.

“Program dan aktiviti ini dijalankan supaya dapat menarik minat ramai terutama belia tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya kepada SelangorKini.

MPSJNor Hisham ditemui selepas merasmikan Program Boling Ramah Mesra MPSJ Bersama Ahli Majlis Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Sunway Mega Lanes, Sunway Piramid, di sini, semalam.

Beliau berkata, program itu ialah kali pertama diadakan dengan disertai 24 PeBT daripada 24 JKP di sini.

“Tujuan ia diadakan sebagai sesi suai kenal di antara MPSJ dan pengerusi PeBT yang baru dilantik.

“Ia juga sebagai pendedahan kepada golongan belia dengan aktiviti sebegini supaya mereka dapat berinteraksi bersama,” katanya.

Katanya, dengan penganjuran program itu dan sebagainya diharap kerjasama antara JKP dan PeBT menjadi lebih erat selepas ini.

EZY