OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor menempah laluan berliku dalam misi menduduki tempat ketiga Liga Super apabila tewas 0-1 kepada Pahang.
Beraksi di Stadium Shah Alam, anak buah K Gunalan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri tambahan pula tanpa kelibat pemain import utama Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi.
Selangor terlebih dahulu mengasak menerusi gerakan ketua pasukan, Andik Vermasyah namun Ahmad Hazwan Bakri gagal melakukan sepakan pada minit kesembilan.
Dua minit kemudian, Mohad Nasril Nourdin mempamerkan aksi cemerlang dengan menghalang dua percubaan berturut-turut daripada S Veenod dan Andik daripada memecah kebuntuan awal.
Pahang yang kerap mengasak ke kubu Selangor akhirnya membuka tirai jaringan menerusi rembatan Pablo Andres Vranjican ke penjuru kiri gawang Selangor pada minit ke-32.
Selang empat minit kemudian, Pahang hampir menjarakkan kedudukan kepada 0-2 namun dibatalkan kerana terlebih dahulu mengasari penjaga gol, Norazlan Razali.
Bersambung babak kedua, Andik hampir menyamakan kedudukan buat Selangor namun rembatan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-51 berjaya ditolak keluar Mohd Nasril Nourdin.
Faysal Shayesteh hampir membolosi gawang Selangor pada minit ke-75 namun sepakan percuma beliau berjaya ditepis keluar Norazlan.
Dengan keputusan itu, Selangor kekal di tempat keempat dibelakang Kedah yang menduduki tempat ketiga dengan perbezaan enam mata.
EZY