Categories
SELANGOR

Nelayan digalak guna PLB langkah efektif ketika kecemasan

PELABUHAN KLANG, 6 SEPT: Nelayan di perairan Selangor digalakkan menggunakan ‘Personal Locator Beacon (PLB)’ sebagai langkah pengesanan efektif jika berlaku kecemasan.

Pengarah Maritim Daerah 4 Klang, Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, ini kerana alat perhubungan itu mampu menunjukkan koordinat di laut lebih tepat bagi memudahkan agensi itu bergerak ke lokasi untuk sebarang bantuan.

“PLB beroperasi menggunakan sistem satelit terus ke radar APMM dan ia memudahkan kita mengesan mereka di mana saja koordinat menerusi maklumat yang diterima. Ini untuk mengelakkan para nelayan kita dieksploitasi pihak lain.

“APMM Daerah Maritim Klang sentiasa berusaha memastikan perairan Selangor bebas daripada sebarang kegiatan haram demi keselesaan para nelayan mencari rezeki dan kita harapkan kerjasama daripada semua pihak dalam hal ini,” katanya dipetik BERNAMA.

plbfastfindTerdahulu, Mohd Rosli dikunjungi 15 wakil Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-peniaga Ikan Sekinchan di pejabatnya dalam menjalin kerjasama rapat antara kedua-dua pihak demi kemakmuran perairan Selangor.

Dalam kunjungan itu katanya, terdapat beberapa perkara dibincangkan wakil persatuan berkenaan yang meminta APMM meneliti isu penggunaan pekerja asing di dalam kapal selain penyalahgunaan pukat tunda oleh kapal kelas B di kawasan pesisir pantai.

Mohd Rosli berkata konsep perbincangan dan kunjungan dilakukan persatuan itu dilihat sangat baik dalam mempertingkatkan penyaluran maklumat antara dua pihak untuk tindakan sewajarnya pada masa depan.

EZY