Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Operasi Mega Denggi-Zika seluruh Selangor 13 September

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 SEPT: Operasi Mega Denggi-Zika secara bersepadu bakal dilaksanakan bermula 13 September hingga 12 Oktober di seluruh Selangor.

Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi, berkata operasi itu membabitkan semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

Katanya, arahan dikeluarkan Kerajaan Negeri selama sebulan bagi mengekang gejala denggi dan zika secara berkesan.

“Kerajaan Negeri mengarahkan PBT termasuk MPK untuk melaksanakan operasi ini selama sebulan membabitkan semua kawasan perumahan mahupun perindustrian.

“Kes ini memberikan implikasi besar dan memerlukan pemantauan, pencegahan dan kawalan secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media, di Hotel Premiere, di sini.

Adi berkata sebanyak 365 kes denggi dilaporkan di seluruh kawasan Klang pada Ogos dan Kota Pendamar merupakan kawasan hotspot dengan mencatatkan sebanyak 23 kes bulan yang sama.

“Selain ‘fogging’, MPK memasang alat perangkap untuk mengesan jumlah nyamuk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata MPK mempertingkatkan kekerapan ‘fogging’ di rumah pesakit dan kawasan sekitar sejauh 200 meter.

“MPK turut memantau dan membuat pemeriksaan kawasan bawah pentadbiran setiap hari dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah.

“Kita mempunyai lapan kumpulan dan 16 anggota menjalankan kerja pemeriksaan, pencegahan dan kawalan,” katanya.

EZY