Categories
SELANGOR

PAC: Senarai hitam kontraktor gagal patuh spesifikasi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 SEPT : Penyenaraian hitam akan dibuat terhadap syarikat kontraktor yang tidak mematuhi spesifikasi pembinaan jalan di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kita Wang Awam (PAC) Selangor, Ng Suee Lim, berkata cadangan tersebut dibuat bagi memastikan pembinaan jajaran jalan di Selangor mencapai kriteria ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya mencadangkan JKR negeri boleh membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor melanggar atau tidak menjalankan pembaikan jalan mengikut spesifikasi kita.

“Inisiatif ini sebagai jaminan penguatkuasaan supaya kontraktor tidak menjalankan kerja pembinaan jalan secara sambil lewa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Kira-kita Wang Awam berhubung Laporan Audit Negara membabitkan Aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2015 Siri 1.

PACAhli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan itu mengulas isu kerosakan jalan walaupun pembinaan jalan baru selesai dalam tempoh enam bulan.

Mengambil maklum pandangan tersebut Pengarah JKR Selangor, Mas Abdul Rahman Mas Mohamed berkata, pihaknya positif ke arah pelaksanaan tersebut, namun bergantung kepada permasalahan dan isu berbangkit.

“Untuk membuat penyenaraian itu, kita boleh serahkan nama kontraktor kepada CIDB.

“Namun ketika ini pihak kami sekadar akan mengurangkan pembayaran kontraktor jika didapati ada projek di bawah seliaan itu tidak mencapai kriteria,” katanya.

-nR-