OLEH NAZLI IBRAHIM
AMPANG, 29 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawar kupon meletak kenderaan bernilai RM10 kepada orang ramai yang membayar kompaun masing-masing.
Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, langkah itu diambil bagi tujuan mempromosikan sistem tempat meletak kereta berkupon di kawasan pentadbiran MPAJ.
“Kompaun meletak kenderaan dikenakan adalah RM30 tetapi mereka dapat dua buku kupon bernilai RM5 setiap satu dan ini bermakna kita pulangkan RM10 dalam bentuk kupon meletak kenderaan.
“Sehingga kini sejumlah RM18,175 kompaun berjaya dikutip,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPAJ diadakan di Menara MPAJ di sini, hari ini.
Jelasnya,orang ramai tidak harus melepaskan tawaran kupon meletak kenderaan percuma itu yang bermula pada 15 September hingga 31 Oktober depan.
Ketika menyentuh sistem meletak kenderaan berkupon yang baru diperkenalkan, Abd Hamid memberitahu sehingga kini sebanyak 292 buku kupon dijual di 216 agen jualan terpilih.
“Antara agen kami adalah pasar mini 99 Speed Mart, kedai serbaneka 7 Eleven dan stesen pam minyak Petronas. Orang ramai boleh dapatkan buku kopun di sana,” katanya lagi.
-nR-