Categories
SELANGOR

Penduduk tidak perlu bimbang projek talian elektrik

OLEH NAZLI IBRAHIM

CHERAS, 22 SEPT: Penduduk di Taman Cheras Hartamas tidak perlu bimbang berkenaan keselamatan mereka dalam projek talian penghantaran elektrik yang kini dijalankan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, tinjauan dijalankan mendapati TNB memenuhi syarat juga spesifikasi keselamatan ditetapkan Kerajaan Negeri dan pihak pemantau keselamatan projek terbabit.

“Setakat ini, wakil penduduk dan sekolah tadika berdekatan merasa lega dengan penjelasan diberikan TNB.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek ini sentiasa mengutamakan keselamatan penduduk,” katanya.

yb-zaidyBeliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di tapak projek talian penghantaran elektrik 275/132 KV di Taman Cheras Hartamas, di sini, semalam.

Lawatan itu turut disertai Kumpulan Ikram Sdn Bhd yang terlibat memantau isu ketahanan tanah dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).

Pada masa sama, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri turut mengenakan syarat tambahan kepada TNB seperti memasang pagar keselamatan sepanjang laluan talian elektrik dan menara juga melaporkan kemajuan projek kepada Kerajaan Negeri secara berterusan.

“TNB juga disaran memastikan langkah pencegahan banjir kilat dilaksanakan mengikut spefikasi ditetapkan bagi mengawal air larian permukaan jika berlaku hujan lebat,” katanya.

-AA-