Categories
SELANGOR

Pengelasan jenis tanaman, tingkat produktiviti pertanian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 SEPT: Inisiatif pengelasan jenis tanaman pertanian dilaksanakan secara efektif bagi menghasilkan hasil tani berproduktiviti tinggi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata prosedur tersebut digerakkan bagi mengatasi masalah kekurangan tanah pertanian negeri.

“Kekangan guna tanah pertanian kini dalam rekod saya sebanyak 36.9 peratus yang mana meliputi 80 peratus hasil tanaman getah dan kelapa sawit.

“Kita akui pertambahan penduduk, mendorong kepada penyusutan tiga peratus tanah negeri yang akan dibangunkan untuk tujuan pembangunan.

“Jadi inisiatif pengelasan tanaman menerusi penggunaan teknologi moden mampu menjana kepada hasil lebih positif,” katanya kepada SelangorKini.

Ketika ini, Selangor tidak memiliki tanah pertanian bersesuaian untuk dibangunkan sebagaimana negeri-negeri di Malaysia seperti Kedah, Perlis, Johor dan Sarawak.

Mengakui perkara itu, Zaidy berkata Kerajaan Negeri menghadapi cabaran terbesar bagi mencari ruang tanah pertanian baru ke arah menjana pertumbuhan industri itu.

“Bakinya terlalu kecil dan sedikit. Keadaan itu menjadi kekangan kita kerana tanah dikategorikan sebagai zon pertanian kini dihimpit pembangunan.

“Namun diharap inisiatif digerakkan ini mampu membantu petani mengeluarkan hasil pertanian mereka,” katanya.

EZY