Categories
SELANGOR

Perpustakaan Mini Indah Court semai amalan membaca

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 24 SEPT: Inisiatif penubuhan Perpustakaan Mini Perumahan Indah Court diyakini mampu menjadi pemangkin kepada semangat membaca masyarakat sekitarnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata perkembangan positif itu mendorong kepada semangat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya kepada golongan muda.

“Pendekatan untuk mendapatkan sumber bacaan itu terbuka seiring penggunaan teknologi dan bahan bacaan menerusi sumber buku yang boleh diperoleh daripada pusat sumber.

“Justeru kemudahan ini dilihat sangat proaktif dan berkesan kepada anak-anak supaya amalan pembacaan itu menjadi inspirasi melahirkan masyarakat cintakan buku,” katanya.

Beliau bercakap pada majlis perasmian Perpustakaan MiniPerumahan Indah Court di Pejabat JMB Indah Court, Jalan PJS 11/2 di sini, hari ini.

Inisiatif penubuhan mini perpustakaan ini terhasil menerusi idea JKP Zon 2, Majlis Perbandaran Subang Jaya, JMB Indah Court menerusi pelan perancangan pembangunan setempat.

Antara kemudahan tersedia di perpustakaan ini termasuklah penyediaan bahan bacaan dari segenap lapisan umur, ruang bacaan dan kemudahan tempat mesyuarat.

Kemudahannya bakal diperluaskan menerusi sesi kelas tuisyen oleh graduan lepasan institusi pengajian tinggi kepada kanak-kanak yang bakal menduduki peperiksaan utama.

Sementara itu, Setiausaha JKP Zon 2, Mohamad Noor Ahmad, berkata golongan muda sewajarnya memanfaatkan kemudahan ini dengan aktiviti berfaedah.

“Di kawasan Zon MPSJ, ini merupakan mini perpustakaan kedua selepas penubuhan pertama di PJS 7.

“Kita harap dengan penubuhan ini membuka ruang kepada lebih banyak lagi mini perpustakaan di sekitar perbandaran Subang untuk manfaat semua golongan,” katanya.

EZY