OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 15 SEPT: Proses cadangan persempadanan semula yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini disifatkan tidak adil dan memberi kelebihan kepada parti pemerintah.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata perkara tersebut memperlihatkan usaha berterusan untuk mengekalkan Umno Barisan Nasional sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum 14 ini.
Beliau merujuk perubahan pengundian di Parlimen Kapar yang dipindahkan di kawasan Parlimen baru, dengan pengurangan sebanyak 30.3 petatus pengundi.
“Majoriti 23,790 yang dimenangi pada pilihan raya lalu di Kapar hanya kira-kira setengah daripada hasil cadangan persempadanan semula itu,” jelas Pengerusi DAP Selangor itu dalam kenyataannya hari ini.
Kerusi Parlimen Kapar kini disandang, Manivanan Gowind yang juga Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN.
Perubahan sama turut melibatkan kerusi Parlimen Subang dari KEADILAN, di bawah penyandangnya R. Sivarasah yang mengalami pengurangan pengundi seramai 73,448 orang yang dipindahkan ke kawasan Sungai Buloh.
“Ini menambah peluang kepada Barisan Nasional untuk menang di kawasan Subang dan Sungai Buloh.
“Langkah SPR menafikan hak kesamarataan ini jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Manivannan ketika dihubungi SelangorKini turut mengkritik cadangan perubahan komposisi pengundian itu.
“Ini langkah terdesak dan cubaan daripada pihak tertentu menggunakan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan untuk menang dalam pilihan raya menggunakan taktik kotor.
“Sebaiknya, gunakanlah sistem yang lebih bersih dan bukan bermain dengan taktik kotor untuk tadbir negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin menerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) pula mengadakan lawatan ke SPR Negeri bagi mendapatkan maklumat terkini perubahan persempadanan semula.
EZY