Categories
NASIONAL

Polis ambil keterangan UTM insiden kemalangan EIMARace

SHAH ALAM 27 SEPT: Polis Pahang mengambil keterangan wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 berhubung tragedi yang meragut nyawa dua beranak di Jalan Sukpa, Indera Mahkota, Kuantan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh, berkata pihaknya juga mengambil keterangan Siti Suhaiza Seman, 38, iaitu isteri dan ibu kepada mangsa rempuhan kenderaan jenis go-kart itu.

“Kita mengambil keterangan beliau tetapi kita masih memberikan sedikit masa untuk beliau tenang dan stabil,” katanya dipetik BERNAMA.

Bagaimanapun, Abdul Aziz tidak mendedahkan nama wakil UTM dan juga bilangan individu yang telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, lima, meninggal dunia akibat dirempuh sebuah go-kart semasa menonton perlumbaan itu.

Kemalangan yang dipercayai berpunca apabila tiga buah go-kart bergesel sesama sendiri turut menyebabkan Siti Suhaiza dan anak sulungnya Muhammad Izz Daniel, tujuh, cedera, namun keadaan mereka kini stabil.

EZY