Categories
SUKANKINI

Red Giants tewas tipis 1-0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 SEPT: Selangor berputih mata apabila dikalahkan Perak 1 – 0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Perak mendapat gol kemenangan itu hasil jaringan sendiri pemain pertahanan import The Red Giants, Ugo Ukah yang cuba menyelamatkan bola tendangan Nasir Basharudin di depan pintu gol pada minit ke 48.

Juara Piala Malaysia itu nyata gagal menyaingi cabaran skuad kendalian Karl Heinz Weigang pada separuh masa kedua yang rancak menyerang apabila perlawanan bersambung.

Walaupun The Red Giants banyak mencipta peluang namun gol dicari gagal diperoleh.

Skuad bimbingan K Gunalan mengasak kubu lawan dari awal permainan dan Patrick Ronaldinho Wleh (m10) nyaris menanduk masuk gol tetapi sipi.

Begitu juga beberapa percubaan selepas itu yang tidak berhasil melalui ketua pasukan, Andik Vermanshah dan yang lain hingga tamat separuh masa pertama.

Gol diperoleh Perak dua minit selepas separuh masa kedua bermula memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat yang berjaya mengawal perlawanan dengan baik.

Selangor cuba bangkit dari ketinggalan dengan mengatur serangan ke kubu Perak tetapi pertahanan lawan kental bertahan.

Lapan minit sebelum tamat perlawanan, Selangor terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Ukah dilayang kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas mengasari penyerang Perak.

Kekalahan itu mengecewakan Selangor yang jatuh ke tangga kelima liga berkongsi 28 mata dengan Kelantan di kedudukan keempat hasil perbezaan gol.

Manakala Perak (27) naik satu anak tangga di tempat keenam menggantikan T-Team yang tewas kepada Johor Darul Ta’zim (1-5).

KEPUTUSAN LAIN:

Felda United 3 – 3 Sarawak
JDT 5 – 1 T-Team
Pahang 1 – 0 Pulau Pinang
Terengganu 0 – 3 Kedah

EZY