Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Red Giants yakin bangkit cemerlang lawan T-Team

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 SEPT: K Gunalan yakin Selangor bakal kembali cemerlang ketika menentang T-Team dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, 1 Oktober ini.

Bagi pengendali The Red Giants itu kekalahan 1 – 0 kepada Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi, biarpun pahit untuk diterima tetapi ia pasti tidak melemahkan pasukan untuk bangkit mencabar bagi mempertahankan kejuaraan piala berprestij negara itu.

“Nampaknya permainan kita tidak menjadi malam ini (tadi), kita mempersembahkan permainan baik tetapi Perak nyata lebih baik dan berkesan.

“Saya tidak menyalahkan pemain kerana mereka melakukan yang terbaik untuk pasukan dan sebelum ini gigih berusaha untuk kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Selangor tewas kepada Perak hasil jaringan sendiri pertahan import, Ugo Ukah yang cuba menyelamatkan bola tendangan Nasir Basharudin di depan pintu gol dan terlepas dari jangkauan penjaga gol, Norazlan Razali.

Gunalan berkata, kegagalan menjaringkan gol menyebabkan usaha Selangor mengukuhkan kedudukan dalam liga tidak berhasil namun beliau yakin pemain akan kembali dengan aksi terpuji ketika berdepan T-Team nanti.

“Saya yakin keputusan ini tidak menjejaskan pemain kerana ia kekalahan tipis dan mereka tahu betapa mustahaknya perlawanan dengan T-Team tambahan bermain di tempat sendiri.

“Kita akan memotivasi pemain dalam usaha meningkatkan keyakinan untuk mencipta kemenangan dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia ini kerana hanya ini satu-satunya kejuaran yang tinggal untuk dipertahankan,” katanya.

Sebelum perlawanan malam tadi, Selangor beraksi dalam suka akhir kedua Piala Malaysia menentang PKNS FC pada 17 September lalu dalam menang 1 – 0 dan layak ke separuh akhir dengan agregit 5 – 3.

Dalam saingan liga pula, Selangor mempunyai satu lagi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim pada 24 Oktober depan.

EZY