OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 17 SEPT:Solat sunat jenazah ghaib Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din berlangsung sempurna di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Solat pada kira-kira jam 9.30 pagi itu diimamkan cucunya, Hakim Hamdi disusuli selepas itu tazkirah ringkas disampaikan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Lebih 3,000 umat Islam turut serta dalam solat sunat itu yang juga disertai Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta hadirin lain.
Jenazah Allahyarham dimaklumkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat selepas solat Jumaat waktu tempatan.
Haron, 76, menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Stanford University, San Francisco, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi (waktu Malaysia), semalam.