KUALA LUMPUR 10 SEPT: Ringgit berkemungkinan mencatat aliran rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata kebanyakan mata wang Asia turut dijangka diniagakan rendah memandangkan kekukuhan indeks dolar AS susulan kadar faedah yang mungkin dinaikkan semasa mesyuarat dasar pada 20-21 September.
“Pasaran akan memberi reaksi bagi mengekalkan prestasinya kerana jika Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah bulan ini, kita mungkin menyaksikan aliran keluar dana asing.
“Selain itu, ketegangan geopolitik turut ditimbulkan Korea Utara susulan pelaksanaan ujian nuklearnya yang kelima dan paling berkuasa pada Jumaat,” katanya dipetik Bernama.
Sementara itu, Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata keputusan Bank Pusat Eropah mengekalkan dasar monetarinya pada Khamis, turut memberi tekanan kepada pasaran Asia.
“Akan berlaku kerugian selanjutnya jika penghindaran risiko hanya menggalakkan pelabur untuk menjauhi aset berisiko,” katanya.
Mengikut Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0675/0725 daripada 4.0830/0900.
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang lain.
Nota tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0030/0069 daripada 3.0018/0080 pada Jumaat lepas, dan lemah berbanding yen kepada 3.9792/9852 daripada 3.9411/9498.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.5845/5905 daripada 4.5640/5734 namun meningkat berbanding pound kepada 5.4118/4205 daripada 5.4161/3262 minggu lalu.
EZY