Categories
NASIONAL

Ringgit diramal diniaga terus rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 18 SEPT: Ringgit dijangka diniaga lebih rendah berbanding dolar AS minggu depan berikutan ketidaktentuan global yang akan mempengaruhi pergerakan dolar.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata minggu depan Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Jepun dijangka mengadakan mesyuarat mengenai dasar kewangan.

“Ringgit akan diniagakan dalam mod yang ketat dan kemungkinan tidak berlaku kenaikan minggu depan,” katanya dipetik BERNAMA.

Pada asas Khamis ke Jumaat, berikutan minggu yang pendek disebabkan cuti pada Isnin untuk Hari Raya Aidiladha dan pada Jumaat sempena Hari Malaysia, mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar kepada 4.1340/1400 daripada 4.0675/0725.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit juga ditutup lebih rendah. Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0259/0325 daripada 3.0030/0069 Jumaat lalu dan turun berbanding yen kepada 4.0391/0457 daripada 3.9792/9852.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding euro kepada 4.6491/6567 daripada 4.5845/5905 tetapi mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4742/4843 daripada 5.4118/4205 Jumaat lalu.

EZY