OLEH NAZLI IBRAHIM
PUCHONG, 25 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM70,000 bagi menjayakan setiap Program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) yang diadakan di kesemua daerah seluruh Selangor.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata beliau berharap Kerajaan Negeri bersedia menambah peruntukan bagi membolehkan suntikan elemen baru dalam program yang sudah memasuki tahun kedua itu.
“Pada tahun hadapan saya dah melihat beberapa perkara yang boleh dijadikan pendekatan yang saya kira perlu dengan harapan bajet lebih besar untuk tahun hadapan.
“Dahulu, peruntukan sangat terhad tetapi kita boleh adakan dengan adanya peruntukan Kerajaan Negeri lebih RM70,000 dan dibantu pula oleh Pusat Khidmat Masyarakat atau Ahli Dewan Negeri (ADN) tempatan lebih RM20,000 menjadikan program dijalankan agak selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas merasmikan Program Karnival Kampungku Kesayanganku 2016 Peringkat Daerah Petaling yang diadakan di Masji As-Salam, Puchong Perdana di sini, malam tadi.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah dan pendekatan baru yang dicadangkan beliau bagi menambahbaik progaram 3K pada 2017 nanti.
Jelasnya, antara acara dijalankan dalam program 3K tahun ini adalah acara perkahwinan beramai-ramai dan tahnik dengan setiap acara bergantung kepada keperluan tempatan.
“Walaupun perancangan program kita aturkan di peringkat negeri tetapi setiap daerah yang kita turun ada keunikan dan keperluan masing-masing, contohnya peringkat Daerah Petaling ini juga ada beberapa perkara yang unik seperti hari ini sahaja kita ada tahnikkan 32 anak-anak,” katanya lagi.
Sebelum itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian Yunus berkata, antara objektif utama program 3K diadakan supaya semua jabatan di bawah portfolio beliau dapat turun ke akar umbi bagi menilai sendiri isu diketengahkan masyarkat tempatan.
Selain itu, program itu turut mensasarkan bagi menjadikan masjid sebagai pusat transformasi masyarakat dan memberi pemahaman kepada penduduk mengenai tugas mengimarahkan masjid bukan terletak di bahu ahli jawatankuasa masjid semata-mata.
EZY