OLEH ERMIZI MUHAMAD
WANGSA KERAMAT, 8 SEPT : Amanah wang pesaraan pesara tentera dikhianati pentadbiran Umno Barisan Nasional, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, akta yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan kebajikan pesara dinafikan, ekoran skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Wang pesaraan tentera ini amanah sangat besar dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan pesara tentera.
“Atas kepentingan itulah pada 1973 dibentuk Akta Tabung Angkatan Tentera untuk menjaga ruang ekonomi pesara tenteta dan kebajikan mereka.
“Namun amanah itu dikhianati pemimpin negara kerana kerakusan mereka membabitkan skandal kewangan 1MDB,” katanya pada Majlis Dialog Prajurit, Wangsa Keramat di sini, malam tadi.
Sebelum ini, satu dokumen rahsia didedahkan KEADILAN berhubung dana RM288 juta diseleweng bagi tujuan pemindahan wang kepada syarikat 1MDB untuk membayar faedah hutang pinjaman syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Bagaimanapun, pemindahan wang tersebut didapati tidak melalui proses tepat atas dasar kegagalan 1MDB mendapat kelulusan Lembaga Pengarah untuk memindahkan wang tersebut.
1MDB juga kononnya telah membuat penafian atas dakwaan tersebut dan meminta senarai nama dikeluarkan terhadap individu yang didakwa menerima kelewatan pembayaran wang pesaraan.
Sehingga kini, seramai 110 penama disenaraikan KEADILAN, susulan kelewatan bayaran kenaikan pencen perkhidmatan yang dilaporkan sejak 2013 lalu.
Dalam perkembangan itu, Perdana Menteri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan kelewatan itu.
EZY