Categories
NASIONAL

SPR digesa perjelas 13 kerusi Parlimen lebih 100,000 pengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan status 13 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai lebih 100,000 pengundi setiap satu kawasan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan persempadanan pilihan raya sebelum ini di Semenanjung sebagai melanggar mandat diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada SPR.

Katanya, Perkara 113 Perlembagaan menuntut salah pembahagian ditangani, bukannya dimanipulasi.

“Pada 2013, Pengerusi SPR ketika itu, Abdul Aziz Mohd Yusuf memetik Jadual ke-13 Perlembagaan sebagai jaminan tidak akan ada kerusi yang mempunyai lebih 100,000 pengundi,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga mendedahkan enam kerusi di Selangor, dua di Johor dan selebihnya di Melaka, Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan pengundi yang ramai.

Kit Siang berkata SPR perlu bertanggungjawab untuk membuktikan ia bukan helah untuk mengekalkan Umno berkuasa.

Beliau turut menuntut SPR membuat penjelasan dalam hal terbabit.

“Pertama, dedahkan pada akhir 2013 bekas Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman, melakukan persempadanan semula untuk memastikan Umno kekal berkuasa.

“Kedua, kajian awal persempadanan semula direka semata-mata untuk memastikan Umno mendapat kelebihan.

“Ketiga, tindakan itu dilakukan untuk menghapuskan kuasa pemimpin pembangkang di kerusi yang mudah terjejas,” katanya.

EZY